snf4intro

SNF 2012.4 : Pantang Undur Sebelum Kalah


Dramatik, profesional, disiplin tinggi, kurang kemalangan besar dan paling penting pantang undur sebelum kalah menjadi isi penting untuk SNF Pusingan ke-4 kali ini. Peningkatan jumlah penyertaan juga semakin meningkat. Jika dahulu sekitar 60 buah jentera perang namun pada pusingan kali ini sudah mencecah 93 buah jentera perang.

Terima kasih tidak terhingga pada penaja – penaja utama kami iaitu Hyrax Oil, Ecotint, Ultra Racing, Tom Stickers, GAB Suspension dan Motorsport Playground kerana terus – menerus menyokong SNF. Jutaan terima kasih kepada para hadirin yang tanpa jemu menyokong SNF semenjak pusingan pertama pada tahun 2012 ini.

Mini

Kemunculan jentera Mini (Italian Job) sebanyak 11 buah jentera sememangnya dinantikan. Kecil, jentera lama namun jangan terkejut catatan masa mereka sama dengan jentera Campro.

Sebaik sahaja dilepaskan 11 jentera ini meluru pantas. Menarik perhatian dengan bunyi deruman enjin Mini menyebabkan ribuan hadirin berpusu – pusu ke Pit Wall. Syafiq Ali, Mashlino Buang, Siva Suriyan, Hairani, Hafiz Bachok, Lee Juan Fook antara jaguh dalam kategori ini yang sememangnya dijangkakan akan berada di kumpulan tersendiri. Mashlino pada lap pertama telah berjaya memintas Syafiq Ali namun apabila memasuki lap kedua Syafiq mula menunjukkan taringnya. Terus meninggalkan mereka yang lain dengan catatan masa 1m28saat. Sekarang pertempuran tempat kedua untuk Heat 1 ini melibatkan sekurang – kurangnya 5 peserta. Lap demi lap dilalui, tamat heat 1. Melihatkan catatan masa yang mereka lakukan semua orang menjangkakan Heat 2 pasti lebih sengit.

Sebaik sahaja isyarat pelepasan diberikan kesemua mereka meluru pantas. Syafiq Ali tidak dapat lagi dicabar apabila terus meluru pantas dengan catatan masa 1m25saat (sama dengan Campro) amat sukar peserta lain mencabar beliau. Pertempuran melibatkan Hairani, Mashlino, Lee Juan Fook, dan Siva. Cukup klasik! Ada masanya jika anda yang berada di atas bumbung paddock pasti dapat melihat bagaimana mereka melalui T5 cukup bergaya seperti mereka sedang melakukan aksi drift. Selekoh demi selekoh dilalui, kedudukan mereka tersangat rapat, kelima – lima mereka ini mampu menduduki kedudukan lebih baik. Namun adat dalam dunia perlumbaan, ianya harus ditamatkan. Kedudukan tempat pertama milik Syafiq Ali diikuti Hairani, Mashlino, Lee Juan Fook dan Siva.

Special Kei / Super 1500

Kecil dan lincah menjadi tarikan utama untuk kategori – kategori ini. Keghairahan untuk membuat kejutan dalam pusingan kali ini dapat dilihat di wajah mereka. Watak – watak utama dalam kategori – kategori ini muncul dan ini menambahkan lagi kerancakan untuk pusingan kali ini. Sebaik sahaja bendera hijau dikibarkan, mereka meluru pantas. Entah dimana silapnya Ahmad Shariffudin aka Pok Deng tidak menamatkan meneruskan saingan Heat 1 dan terus memberhentikan jenteranya di dalam selekoh keluar T1. Aril Hamka juga gagal menamatkan saingan apabila mengalami masalah. Maka untuk armada Starlet hanya tinggal Ezani dan Nazif. Nazif bertempur hebat dengan Suzuki Swift milik Hari Haran. Namun aksi dan pertempuran yang menjadi tumpuan ramai adalah Syazril Amri, Sing Boy, Mohd Shairazi (Razee), dan Tarmizi. Kesemua mereka mencatatkan lebih kurang sama iaitu 1m24saat. Razee yang cuba sedaya – upaya untuk menduduki kedudukan lebih baik dan mencatatkan 1m23saat terpaksa berpuas hati untuk kedudukan ketiga. Namun itu bukan penamatnya.

Heat 2 menjanjikan aksi yang paling menarik. Boleh dikatakan pusingan ke-4 ini milik Special Kei dan Super 1500, kenapa? Sebaik sahaja lampu hijau dinyalakan kesemua mereka meluru pantas menuju ke T1. Berentap hebat adalah Syazril Amri dan Razee. Syazril yang mencatatkan masa 1m23saat masih tidak mampu memintas Razee. Aril Hamka mula meluru pantas memintas satu demi satu jentera – jentera Special Kei dan Super 1500 sendiri. Pok Deng seolah – olah “mengamuk” (mungkin dapat berita Kelantan dah dahului Sime Darby 1-0 hehe) memintas kesemua mereka sepantas mungkin. Hari Haran juga begitu. Aril Hamka juga gagal memintas kegilaan Syazril Amri dan Razee. Memasuki lap terakhir, Razee yang sedikit hilang kawalan telah menyebabkan Syazril Amri mengambil peluang yang ada untuk terus memintas beliau. Hari Haran yang mengikuti rapat dibelakang juga mengambil peluang untuk memastikan tempat pertama milik beliau. Sayang buat Aril Hamka yang sepatutnya mempertahankan tempat pertama terperangkap dengan kekalutan itu. Pok Deng entah muncul dari mana terus memintas Aril Hamka dan mencatatkan masa terpantas untuk kategori Super 1500. Tamat buat kategori ini. Kedudukan pertama milik Syazril Amri diikuti Razee, Tarmizi, Ahmad Buddiman dan Mohd Faizal. Bagi Super 1500 tempat pertama milik Hari Haran diikuti Pok Deng, Aril Hamka dan Mohd Nazif.

SuperStreet / CamproChase

Penyertaan 12 buah jentera untuk kategori SuperStreet agak memeranjatkan kerana jika selama ini hanya 2-3 buah sahaja. Desmond Yee, Badrul Hisham, Sebastian Lee, Azly antara jaguh kegemaran yang dinantikan. Lim Han Jin dan Mohd Fahmi boleh dikatakan “musuh” ketat dalam kategori ini. Buat CamproChase, watak – watak penting seperti Syafiq Ali, Hasrin Tahir, Halim Othman dan Micheal Ayyavu menambahkan lagi keceriaan untuk malam tersebut.

Sebaik sahaja dilepaskan, kira – kira 23 jentera perang dari dua kategori ini meluru pantas semungkin. Seperti biasa, Badrul Hisham, Azly dan Sebastian Lee berentap dengan hebatnya. Namun Desmond Yee mula mara dengan garang. Lim Han Jin juga berhempas pulas agar dapat menjarakkan diri dari Mohd Fahmi. CamproChase, Syafiq Ali berentap hebat dengan Hasrin, Halim dan lain – lain. Lap demi lap dilalui, Syafiq yang mula menunjukkan taring mula memburu tempat pertama dan mula bersaing dengan Micheal Ayyavu. Entah mana silapnya Micheal Ayyavu berpusing apabila kedua – dua mereka sama – sama melalui selekoh. Kedua – dua mereka gagal menamatkan saingan untuk Heat 1 dan ini membolehkan Hasrin Tahrir menduduki tempat pertama diikuti Halim dan Alif.

Heat 2 bermula, kedudukan untuk SuperStreet tidak banyak berubah. Namun buat CamproChase pertempuran sebenar berlaku. Keadaan sangat kucar – kacir. Syafiq Ali yang bermula dari belakang dengan garang menumpaskan satu per satu peserta lain. Hasrin Tahir berentap hebat dengan Halim dan Micheal Ayyavu. Tamat Heat 2, dengan Desmond Yee masih unggul dihadapan dengan catatan masa 1m15saat. Bagi CamproChase Syafiq Ali menduduki tempat pertama.

Heat 3 yang mengambil kira masa dan mata ketika heat 2 berlangsung adakalanya “membunuh” impian sesetengah peserta. Sebaik sahaja Heat 3 bermula, Halim Othman meluru pantas dan menduduki tempat pertama dalam tempoh yang agak lama. Namun dengan serangan demi serangan oleh mereka bertiga ini menyebabkan Halim kehilangan posisi pertama. Bagi CamproChase tempat pertama milik Micheal Ayyavu diikuti Halim, Syafiq Ali, Hasrin Tahir dan Muhammad Hairis. Desmond Yee terlalu kuat untuk dipintas. Catatan masa yang beliau lakukan cukup memberi isyarat jelas kepada peserta lain bahawa beliau masih belum memberikan aksi yang terbaik. Sebastian Lee bertempur hebat dengan Badrul Hisham di mana kedua – dua mereka mencatatkan masa 1m17saat (dan aku kenalah belanja Badrul..damn!).

RaceCars

Persediaan yang dilakukan oleh sesetengah peserta untuk memberikan aksi yang menarik sememangnya dinantikan. Watak utama Akina Teo muncul tapi sayangnya Faizal Hassim tidak muncul. Jeffery Moo, Winson Eu, Lee Kum Soon, Ajak Kramer antara watak utama untuk kategori RaceCars Class 2. Lampu hijau menyala terus mereka meluru pantas. Akina Teo menepati ramalan apabila meluru pantas. Tapi kemaraan beliau juga diekori rapati oleh Lim San For. Jeffery Moo juga pantas dan diikuti rapat seperti biasa Winson Eu, Lee Kum Soon dan Ajak Kramer.

Heat 2, mereka bermula dengan lebih garang. Akina Teo sedar ancaman sebenar bukannya datang dari Lim San For sebaliknya Kesavamoorthy. Kedua – dua mereka mencatatkan masa 1m15saat dan hanya dibezakan beberapa milisaat sahaja. Sayang buat Uncle Jeff dan Winson Eu kerana kedua – dua mereka gagal meneruskan persaingan akibat masalah mekanikal. Ajak Kramer berjaya memperbaharui catatan masa beliau 1m19saat. Lee Kum Soon terus meluru pantas dan berjaya menduduki kelompok untuk sub-kategori Class 1.

Heat 3, sekali lagi Akina Teo mendominasi untuk kategori ini. Jika diperhatikan di Race Control Room sememangnya beliau pantas. Tapi dalam kepantasan itu Kesavamoorthy dapat mengekori rapat. Lim San For terpaksa bertempur hebat dengan Muhammad Arif. Lee Kum Soon mudah menduduki tempat pertama apabila kedua – dua watak penting ini gagal sama sekali untuk berlumba.

GAB Street 1.8 Open

Sebelum kita bermula pujian dan penghormatan tertinggi kepada mereka di dalam kategori ini kerana pada pusingan kali ini mereka telah berjaya mengelakkan berlakunya kemalangan besar seperti pusingan – pusingan terdahulu.

Sejumlah 23 jentera Mafia telah bersiap – sedia merebut takhta tertinggi dalam kategori masing – masing. Apabila lampu hijau dinyalakan pekikan VTEC, Turbo, 4G93, Mivec menarik perhatian ribuan para hadirin. Philip Tang berjaya mendahului untuk melalui T1, diikuti Ahmad Firdaus (Daud). Memburu mereka berdua adalah Francis Ng, Havy dan Khair Nur (Keno). Ahmad Fauzi (Ali Prodrag) juga garang mengejar dari belakang. Joe Mivec juga begitu, dengan mudah mencatatkan masa 1m20saat namun sayangnya beliau terpaksa memperlahankan jenteranya apabila mengalami masalah mekanikal. Sham Didi mengekori rapat Razlan Ramli yang mengambil peluang yang ada. Mohd Noor Fairuz yang disebut – sebut akan mencabar juga Joe Mivec juga berada kelompok awal.

Heat 2 seperti biasa memerlukan skil yang tinggi untuk melepasi mereka yang agak perlahan. Reverse Grid digunapakai. Lampu hijau menyala, bagi jentera yang kuat dan skil pelumba yang sangat tinggi menjadi senjata utama berada di kelompok hadapan. Abdul Farid dengan kekuatan Turbo meluru pantas melepasi mereka yang agak perlahan. Pertempuran klasik yang sememangnya diidamkan kebanyakkan para hadirin melibatkan Ahmad Firdaus (Daud) dan Ahmad Fauzi (Ali Prodrag) telah pun berlaku. Pertempuran klasik ini dapat dilihat apabila mereka berdua melalui T5 dan T6. Daud memintas Ali Prodrag di T5, manakali Ali Prodrag memintas kembali di T6.5. Aksi sebegitu kerap dilihat hinggalah penghujung saingan. Abdul Farid yang menggunakan sistem suspension keluaran Ignition.my berjaya mencatatkan masa 1m19saat. Joe Mivec masih mencuba walaupun enjin jenteranya sudah mula membuat ragam. Sham Didi mudah menduduki tempat pertama diikuti Joe Mivec.

Heat 3 kemuncak segala – galanya. Debaran memuncak. Untuk menyaksikan keseluruhan aksi mereka, haruslah berada di atas bumbung paddock untuk melihat T1, T4, T5, T6 dan laluan utama. Sebaik sahaja bendera hijau dikibarkan, kesemua mereka meluru pantas. Dalam persaingan kali ini siapa yang berjaya sampai dahulu ke T1 berkemungkinan besar menjadi sang juara. Ali Prodrag meluru pantas di celahan Daud, Philip Tang, Abdul Farid, Francis Ng. Ali Prodrag dan Philip Tang side-by-side di T1, manakala Daud menerima ancaman dari Francis Ng, Abdul Farid mencuba sedaya – upaya mengekori kegilaan mereka berempat ini. Mohd Noor Fairuz, Sham Didi, Razlan, Afdzal, Morzalee dan Nasrul Azizi meluru pantas. Mereka ini mencatatkan masa lebih kurang sama. Ali Prodrag sekarang ini menerima tekanan daripada Philip Tang yang sudah pasti mahu menduduki tempat pertama. Namun sedikit demi sedikit jarak antara mereka semakin jauh. Ali Prodrag unggul di hadapan. Ahmad Firdaus (Daud) sekarang menerima tekanan yang sangat hebat daripada Francis Ng. Sedikit kesilapan mengundang untuk dipintas. Daud mungkin membuka sedikit ruang akhirnya membenarkan Francis Ng memintas. Mohd Noor Fairuz berhempas – pulas mempertahankan tempat pertama. Beliau diasak kiri dan kanan oleh Sham Didi, Razlan, Afdzal dan Morzalee. Pantas, memang pantas mereka berlima melalui setiap selekoh. Namun pertempuran harus ditamatkan. Mahu tidak mahu mereka harus berpuas hati dengan keputusan ini.

Tamat SNF Pusingan ke-4. Tahniah kepada semua para peserta. Anda menunjukkan prestasi yang semakin lama semakin hebat.

Kita semua bakal berehat selama 4 bulan dan bakal bertemu lagi pada 22 September 2012. Pastikan anda semua meningkatkan prestasi jentera masing – masing.

Salam dan kita jumpa lagi!!

28 comments on “SNF 2012.4 : Pantang Undur Sebelum Kalah

  1. nasib kurang baik utk GC8 track car…masalah mekanikal selepas kemalangan…. terima kasih kepada pasukan-pasukan lain yang membantu malam tu…InsyaAllah…we’ll be back….with a vengeance!

  2. TQ SNF….TQ for everytin..atleast i try my best to get my position back..but “kita hanya mampu merancang” tuhan yg menentukan…sedihh sob2 :( heebaat Hey!

  3. tahniah pd semua pemenang n peserta….jutaan terima kasih juga pd semua crew snf…kita jumpa lg bln 9….(agak2 bln 9 ni ada org sponser entry fee cam thn lepas x?hahahaha)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

Spam Protection by WP-SpamFree